Mukadimah
Pada awal tahun 70-an peranan persatuan dilakukan oleh Persatuan Vokasional dan Bimbingan Malaysia dan Persatuan Vokasional dan Bimbingan Selangor. Walau bagaimanapun kedua-dua persatuan ini tidak dapat mengekalkan kegiatan mereka sehinggalah pendaftaran mereka terbatal mengikut akta Pertubuhan Persatuan.
Pada tahun 1980, sekumpulan kaunselor dan individu yang prihatin serta mempunyai minat yang tinggi dalam bidang kaunseling dan bimbingan di Malaysia telah mengadakan pertemuan di Institut Teknologi Mara (ITM) untuk mewujudkan Jawatankuasa Penaja yang kemudiannya menubuhkan Persatuan Kaunselor Malaysia(PERKAMA). Fauziah Elyas telah dipilih mengetuai jawatankuasa ini. Pada 16 Januari 1982, Persatuan Kaunselor Malaysia telah didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan pada 1989 namanya ditukar kepada Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA). Tujuan utama persatuan ini ialah mengadakan satu asas professional sepunya untuk kaunselor atau ahli professional berkaitan di Malaysia, dari segi orientasi profesional dan semangat setia kawan.
Keahlian PERKAMA dibuka kepada mereka yang berkelayakan dalam kaunseling dan bidang-bidang berkaitan. Mereka yang tidak mempunyai kelayakan yang diisyaratkan, diterima sebagai ahli bersekutu atau ahli pelajar. PERKAMA telah berkembang maju dari tahun ke tahun sejak penubuhannya, di bawah pimpinan Puan Sri Fauziah Alyas (1982-1983), Profesor Dato’ Dr. Amir Awang (1983-1984), (1989-1993), Prof. Dato’ Dr. Abdul Halim Othman (1984-1989) dan Dato’ Mohd Yunus Noor (1994-1999), Prof. Dato’ Dr. Muhamad Mansur Abdullah (2000-2003) Prof. Dr. Suradi Salim(2003-2005) dan Dato’ Dr. Nordin Kardi (2005-hingga sekarang) sebagai Presiden.
Sehingga 2011 sebanyak 15 konvesyen dan satu konvensyen antarabangsa telah diadakan di samping penerbitan-penerbitan professional seperti Jurnal PERKAMA, Suara PERKAMA dan risalah-risalah lain demi untuk memajukan bidang kaunseling dan bimbingan di Malaysia. Ahli-ahli persatuan juga giat dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan dan perundingan, dan berusaha memantapkan keprofesionalisme dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling menerusi ETIKA kaunseling yang bertulis, latihan lanjutan dan penyelidikan. Dari segi etika profesion kaunseling kini terdapat tiga etika yang dijadikan panduan untuk kaunselor. Etika terawal ialah yang digubal oleh PERKAMA 1983, Etika Kaunselor Sekolah 1997 dan yang terbaru ialah Kod Etika Kaunselor (Lembaga Kaunselor,tt.).
Usaha PERKAMA untuk mendapatkan pengiktirafan dari pihak kerajaan mula berhasil apabila satu jawatan Ketua Pegawai Psikologi dan Kaunseling dilantik di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 1992. Kini Pusat Perkhidmatan Psikologi di JPA memainkan peranan penting dalam menangani permasalahan kakitangan awam di tempat kerja. Perkembangan pesat Negara kita kearah masyarakat perindustrian dan perdagangan sudah pasti akan memerlukan perkhidmatan-perkhidmatan terkhusus seperti perkhidmatan kaunseling untuk menangani masalah-masalah sosial dan individu. Keprihatinan pihak kerajaan tentang keperluan kaunseling dan pengiktirafan yang wajar terbukti apabila AKTA KAUNSELOR 580 diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan pada 1hb. Disember 1998. Ramai Ahli Majlis PERKAMA yang terlibat dalam penggubalan akta ini dan Pengerusi Lembaga Kaunselor pertama dilantik oleh Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ialah Profesor Dato’ Dr. Abdul Halim Othman yang begitu banyak menyumbang kepada perkembangan profesion kaunseling di Malaysia.
Tanggal 5 Oktober 2011, PERKAMA sekali lagi melakarkan sejarah tersendiri apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pertukaran nama kepada Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA International). Dengan pertukaran nama tersebut, PERKAMA International terus berkembang dan membuka keahlian kepada ahli di seluruh dunia. Selaras dengan perkembangan ini juga, PERKAMA International telah melantik PERKAMA CONSULTANTS SDN BHD untuk menguruskan semua perkhidmatan latihan dan konsultasi yang sebelum ini diuruskan secara sendirian. Keadaan ini bagi memudahkan aktiviti latihan dan program dapat dijalankan dengan baik kepada semua pelanggan. Disamping itu, PERKAMA CONSULTANTS SDN BHD yang mempunyai rekod baik bersama dengan persatuan, dijangka dapat memberikan impak dan sumbangan besar kepada persatuan dari tahun ke setahun dan pada masa akan mendatang.
PERKAMA CONSULTANTS SDN. BHD. sebuah syarikat yang dibangun dan dikembangkan oleh sekumpulan graduan bumiputera bercita-cita tinggi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti perniagaan. Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia bagi meningkatkan penglibatan golongan muda dalam perniagaan disamping menyahut cabaran Rancangan Malaysia ke-10 dan Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan. Syarikat juga berkongsi dengan sekumpulan pakar dalam bidang Kaunseling melalui syer Persatuan Kaunseling Malaysia di dalam syarikat. Kehadiran pakar bersama-sama dengan graduan tersebut, rangka kerja syarikat diperkemas dan dilaksanakan dengan berkesan.
Kumpulan anak muda ini telah menunjukkan komitmen terbaik dalam jangka masa setahun penubuhan syarikat. Bermula dengan memberi khidmat latihan kepada pelanggan, berkembang kepada penerbitan, pengedaran dan penjualan buku, khidmat pengurusan acara hingga kini berkembang kepada 4 operasi utama merangkumi PERKAMA ACADEMY, PERKAMA STORE, PERKAMA EVENT dan PERKAMA COUNSELING CENTRE. Semangat yang ditunjukkan oleh anak muda tersebut untuk terus maju dan berdaya saing, menyebabkan syarikat dilihat mampu bergerak ke hadapan dengan keadaan yang terbaik.
Setelah genap setahun penubuhannya, syarikat telah berjaya melebarkan sayap perniagaan dengan mempunyai premis kedai jualan buku, premis pusat kaunseling, premis pentadbiran dan premis akademi. Pengembangan operasi ini bersesuaian dengan permintaan semasa daripada para pelanggan pelbagai kategori.
FalfasahPerniagaan
PERKAMA CONSULTANS SDN. BHD adalah sebuah syarikat yang bertanggungjawab dalam melahirkan modal insan yang cemerlang melalui latihan dan konsultasi. Oleh sebab demikian, pihak Syarikat akan cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik, bermutu tinggi serta inovatif dengan menawarkan kos yang berpatutan.
Pihak syarikat juga menyediakan perundingan, latihan pembangunan profesional, program bimbingan dan pendidikan, penyelidikan, penerbitan, pengendalian dan penganjuran kursus-kursus kepimpinan, perancangan kewangan (perundingan Takaful), pengurusan majlis dan pembekalan keperluan pembelajaran, pejabat, sukan, dan rekreasi.
Oleh yang demikian, PERKAMA CONSULTANTS SDN BHD berbesar hati menawarkan pelbagai perkhidmatan yang terbaik dengan tahap profesionalisme yang tinggi kepada pelanggannya. Justeru itu, dapat meningkatkan taraf kehidupan manusia sejagat umumnya di Malaysia.
Maklumat Syarikat
Nama Syarikat Yang Didaftarkan : PERKAMA CONSULTANTS SDN. BHD.
Alamat Yang Didaftarkan : Lot 3-1B, Tingkat 1, Jalan Hentian 1C, Pusat Hentian Kajang, 43000, Kajang, Selangor. Nombor Telefon : 03-87340735
Nombor Faks : 03-87394370
Nombor Pendaftaran Perniagaan : 911686-M
Tarikh Pendaftaran : 13 Ogos 2010
Taraf Syarikat : SENDIRIAN BERHAD, BUMIPUTERA
Bank : BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD
Nombor Akuan Bank : 12029010061587
Modal Berbayar : RM100,000.00
Overdraft : RM20,000.00